Monday, January 31, 2011

Golf negara kini berada di tahap tinggi - Najib

KUALA LUMPUR - Kejohanan CIMB Asia Pacific Classic Malaysia yang berakhir semalam melonjakkan arena sukan golf negara ke peringkat tertinggi, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata, Malaysia juga kini menjadi destinasi penting bagi pemain golf profesional apabila Jelajah PGA disahkan akan berlangsung di negara ini untuk tempoh enam tahun akan datang.

Katanya, ia bukan sahaja menggalakkan pembangunan sukan golf di peringkat amatur, remaja dan profesional bahkan turut memupuk pembangunan perniagaan, kemudahan dan pakej pelancongan yang akan mempromosikan negara dan sukan tersebut.

"Mengambil kira kemewahan pemain golf serta kecenderungan mereka untuk melakukan perjalanan antarabangsa, wujud peluang perniagaan untuk mempromosi Malaysia sebagai destinasi sukan golf.

"Lebih-lebih lagi kita mempunyai sumber, kemudahan dan keghairahan untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi golf bertaraf dunia," katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada majlis penyampaian hadiah kejohanan itu di Mines Resort & Golf Club di sini, semalam.

Mengungguli kejohanan berkenaan ialah juara tiga kali Jelajah PGA, Ben Crane yang membawa pulang hadiah wang tunai RM3.1 juta.

Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri berkata, nilai sukan golf melangkaui aspek sukan dan aktiviti rekreasi kerana ia mewujudkan peluang pekerjaan, perdagangan, pembangunan ekonomi dan pendapatan untuk masyarakat di seluruh negara.

Sebagai contoh, katanya, hari ini sahaja dianggarkan seramai 10,000 hingga 15,000 penonton dengan 20 peratus daripadanya pelawat asing membanjiri tapak Kejohanan CIMB Asia Pacific Classic Malaysia.

"Kehadiran pelancong asing ini dijangka menyumbang secara terus kepada ekonomi negara dan jumlahnya berkembang memandangkan mereka akan mengambil peluang untuk meneroka dan menikmati keindahan yang ditawarkan negara ini.

"Dianggarkan Malaysia menerima pulangan secara tidak langsung berjumlah RM300 juta daripada acara sukan sensasi ini," katanya.

Perdana Menteri berkata, kejohanan itu yang diiktiraf Jelajah PGA membolehkan Malaysia menerima publisiti di peringkat antarabangsa sebagai negara penganjur acara sukan bertaraf dunia itu.

Katanya, publisiti tersebut memberi nilai tambah sebanyak RM240 juta dan ia tidak mengejutkan kerana siaran langsung setiap Jelajah PGA disalurkan kepada lebih 500 juta penonton di seluruh dunia.

Sementara itu, Muhyiddin yang disertai Duta Besar Indonesia ke Malaysia , Tan Sri Da'i Bachtiar selepas majlis tersebut menyaksikan penyerahan sumbangan sebanyak RM1 juta oleh Pengasas The Mines, Tan Sri Lee Kim Yew kepada wakil Yayasan Tzu Chi, Tan Chee Wei khusus untuk bantuan mangsa tsunami dan letusan gunung berapi di Indonesia.

No comments:

Post a Comment