Tuesday, September 11, 2012

Golf bukan lagi untuk golongan elit




GOLF tidak lagi tertumpu kepada golongan elit seperti yang dilabelkan suatu masa dahulu. Kini sukan golf tersebut telah menular kepada semua golongan dan tanpa mengira kaum, umur dan jantina.
Malah, ada yang menjadi golf sebagai penyelesaian kepada mereka yang menghadapi tekanan.
Suasana lapangannya yang menghijau dan dikelilingi hutan dan bukit-bukau, ada pula yang terbentang indah di tepi lautan tentunya menyediakan persekitaran yang menyenangkan untuk merehatkan minda.
Suasana kehijauan yang ditawarkan sangat baik untuk penglihatan. Malah ia merupakan salah satu dari terapi kesihatan.
Pada masa sama, interaksi sosial di kalangan pemain-pemain juga dapat ditingkatkan.
Ada yang menggunakan golf untuk mengeratkan hubungan dengan rakan-rakan, ada pula yang menjadikannya untuk menambah rakan perniagaan.
Daripada segi aspek kesihatan, ia sememangnya sudah banyak diperkatakan, kerana golf memerlukan seseorang itu berjalan.
Walaupun di Malaysia hampir semua lapangan golf menawarkan penggunaan buggy, tetapi pemain tetap perlu berjalan.
Adakalanya pula perlu mendaki lereng dan cerun. Bergantung kepada di mana bola mereka berada.
Untuk menghabiskan permainan golf 18 lubang, seseorang itu memerlukan masa empat jam dan berjalan sejauh kira-kira tujuh kilometer.
Kemudahan golf pula boleh didapati di mana-mana sahaja di negara ini.
Boleh dikatakan hampir setiap negeri memiliki lapangan golf dan di seluruh negara pada masa ini terdapat kira-kira 200 lapangan golf.
Bagi penggemar golf yang berkunjung ke Melaka, mereka tentunya biasa dengan lapangan A'Famosa Golf Resort yang terletak di Alor Gajah.
Yang menariknya, A'Famosa menawarkan lebih daripada sekadar golf. Malah, ia merupakan destinasi berlibur dan beristirehat yang cukup ideal untuk mereka yang berkeluarga.
Di A'Famosa, mereka boleh memilih untuk menginap sama ada resort, hotel mahupun villa yang terdapat di dalamnya.
Perjalanan dari ibu negara yang memakan masa selama satu setengah jam ke arah selatan tentunya menjadikan ia sebagai destinasi pilihan.
Sebaik membayar tol di plaza tol Alor Gajah, dan memandu sekitar lima kilometer saja lagi, mereka sudah sampai ke destinasi yang dituju.
Kemudahan padang golfnya bertaraf dunia dengan 27 lubang yang diklasifikasikan sebagai 10 lapangan terbaik di negara ini.
Jika di kalangan pemain golf memang terkenal dengan 'buaya', tetapi di A'Famosa, buaya memang menjadi penghuni tetapnya.
Terdapat empat ekor buaya yang menjadi penghuni tetapnya sejak dari dahulu lagi.
Bagi 'buaya-buaya' golf, mereka akan bertemu dengan buaya sebenar apabila beraksi di A'Famosa.
Buaya-buaya tersebut menghuni kawasan bersebelahan dengan green lubang ketujuh crocodile.
Lubang dengan indeks satu itu juga merupakan yang paling mencabar di lubang tersebut.
Cuma dinasihatkan, jika ada pemain yang bolanya tersasar ke kawasan buaya tersebut, biarkan saja. Jangan cuba masuk ke kawasan buaya itu kerana ia bakal mengundang nahas.
Malah, pihak pengurusan turut meletakkan papan tanda amaran mengenai kewujudan buaya tersebut.
Sekali pandang, lapangan ini nampak mudah. Tetapi, sebenarnya ia agak panjang dan mencabar.
Banyak cabaran yang menanti para pemain di A'Famosa yang mana ia berbeza dengan lapangan lain.
Daripada 27 lubang yang terdapat di lapangan itu dipecahkan kepada tiga lapangan setiap satu dengan sembilan lubang.
Sembilan lubang pertama dinamakan Rocky Nine dengan jarak 3,182 meter.
Sembilan lubang yang kedua pula ialah Palm Nine sepanjang 3,152 meter dan Crocodile Nine dengan jarak 3,215 meter.
Bagi Crocodile Nine, antara lubang yang wajar diberikan tumpuan ialah par-4 lubang kedua sejauh 388 meter.
Fairwaynya yang menurun dengan kolam dihujungnya memerlukan pemain lebih berhati-hati dalam memilih kayu yang sesuai untuk memukul.
Greennya turut diapit oleh kolam yang memerlukan ketepatan daripada pemain jika mahukan catatan yang baik.
Sebagai sebuah destinasi yang menawarkan percutian untuk keluarga, golf bukan segala-galanya di A'Famosa.
Ia turut menawarkan pelbagai kemudahan rekreasi lain untuk dipilih oleh para pengunjung.
Ketika si bapa sedang asyik bertarung dengan lapangan golf bertaraf dunia itu, ibu dan anak-anak boleh bersantai di taman tema air yang menarik.
Di A'Famosa juga terdapat taman binatang dan perkampungan cowboy yang unik dan tersendiri.
Bagi penduduk Lembah Klang, A'Famosa Resort cukup sesuai dijadikan destinasi untuk merehatkan minda pada hujung minggu bersama keluarga.
Bagi kaki golf pula, beraksi di A'Famosa bermakna mereka tidak perlu mengabaikan keluarga pada hari minggu.
Dengan pelbagai kemudahan dan tarikan yang terdapat di A'Famosa, mereka yang mahu bermain golf boleh membawa keluarga bersama-sama.
Ketika anda beraksi dengan kawan-kawan di lapangan, ahli keluarga pula boleh memilih aktiviti yang sesuai dengan mereka.